Monday, September 2

Cekmek 1

Kunyahan gula yang diadun dengan ubi kayu dan tepung itu terasa lain sensasinya. Keraknya sedikit garing, bahagian isi lembut separa kenyal, di dalamnya padat dengan gula yang masih cair dek dimasak dengan minyak panas itu.

Afiq memilih-milih ulas yang kedua untuk bakal dimamah. Sesekali dia memerhati Nek Fatimah yang sedang menuangkan air kelapa muda ke dalam cawan di anjung dapur. Anak cucu yang lain tekun menunggu sambil asyik berbual di beranda, berkumpul empat sekeluarga sejak raya kedua yakni tiga hari lepas lagi. Nek Fatimah memerhati saja Afiq seperti orang kelaparan sibuk memilih kuih Cekmek yang paling montel barangkali.

Kuih Cekmek; mungkin namanya agak kelakar. Kurang nilai komersial kalau hendak dibandingkan dengan Cheese Cake atau Red Velvet yang menjadi kegilaan gadis sebagai pengecur liur. Bentuk yang mirip tubuh mengandung itu mungkin juga tiada daya tarikan. Apalah yang ada bagi kuih kampung seperti ini. Bazar Ramadhan pun orang tak jual.

“Afiq tokleh nikoh lagi, baju pun harap kito basuh lagi”, seloroh ibu sambil dibalas tawa saudara yang lain.

“Jate nok basuh gaponyo, harap bini la tu pun kalu reti basuh… hahaha”, tergelak besar belum sempat Pak Cik Zain habiskan ayat dia.

Afiq tersenyum tawar. Entah apa yang kelakar bila semua sibuk bercakap pasal dirinya. Perlahan dia menghirup air kelapa muda yang baru terhidang di beranda dapur itu.

Meriah.

Jarang sekali anak beranak Nek Fatimah dapat bertemu begini. Masing masing sibuk dengan urusan kerjaya dan keluarga sendiri. Ada yang jadi suri rumah sepenuh masa, ahli perniagaan, jurutera, dan konsultan perniagaan. Mungkin sebab semua anaknya perempuan, keutamaan seringkali diberikan kepada suami dahulu.

Namun sajian petang ini menghidupkan mood yang berlainan bagi Nek Fatimah. Manis gula, tawar tepung, dan likat ubi ini seolah menyambung kembali sel neuron di sarafnya. Ingatan warga emas ini mungkin tidak mampu memanggil semua memori sepanjang 67 tahun bernafas. Tapi kali ini agak signifikan. Ada sesuatu yang nostalgik membelenggu fikirannya.

Afiq perasan. Air muka Nek Fatimah tiba-tiba sahaja berubah. Pandangnya melayang. Kedunya kaku. Matanya berkaca.

No comments:

Post a Comment